senirupanusantara

Sunday, 18 October 2009

MEMAHAMI TEMA DAN PENGOLAHAN CATAN TAHUN 1950-AN DALAM KOLEKSI TETAP BALAI SENI LUKIS NEGARA MALAYSIA(BSLNM) SEBAGAI ASAS PENDIDIKAN SENI RUPA




Oleh
MOHD AZHAR ABD MANAN1
ROSIAH MD NOOR2

Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA Malaysia
Email: 1azharmanan@yahoo.com, 2rosiah65@yahoo.com

ABSTRAK
Seni rupa adalah salah satu khazanah budaya yang menyumbangkan kepada ketamadunan sesebuah negara. Namun demikian, ianya masih sukar dijiwai oleh setiap masyarakat di Malaysia terutamanya seni rupa moden yang baru berkembang di awal tahun 30an. Peranan pendidikan secara formal atau informal dalam memberi pemahaman terhadap kandungan karya seni rupa moden dapat memupuk kecintaan terhadap khazanah budaya disamping berkongsi nilai-nilai yang ingin disampaikan melalui karya tersebut. Balai Seni Lukis Negara (BSLN) adalah sebuah galeri seni utama di Malaysia yang berfungsi dalam mengumpulkan karya seni rupa untuk tujuan memperkembang dan mengekalkan warisan budaya negara. Seharusnya BSLN menjadi pusat sumber ilmu dalam mengapresiasi  pendidikan seni rupa  di Malaysia.


Pendidikan seni rupa dalam konteks apresiasi seni adalah perlu kerana karya seni boleh jadi cukup rumit atau sukar untuk difahami dan akan diberi tafsiran yang berbagai oleh setiap individu. Golongan celik seni perlu menyumbang maklumat yang mudah difahami dalam mentafsir dan memahami sesebuah karya seni rupa. Walaupun kaedah untuk memahami sesuatu karya seni rupa melibatkan peringkat-peringkat tertentu, adalah lebih adil dan memadai jika masyarakat umum dididik pada cara interpretasi yang paling mudah dan asas. Cara mudah dalam penghargaan terhadap karya seni rupa adalah dengan mengenali tema dan pengolahan yang dibawa oleh seseorang artis atau pengkarya itu. Tema dan pengolahan karya-karya koleksi tetap BSLNM adalah refleksi idea para pengkarya dan artis seni rupa yang penting. Artis-artis seni rupa yang berkarya dalam tahun-tahun 1950-an atau sebelum itu adalah antara artis pelopor seni moden Malaysia yang majoritinya menghasilkan karya catan. Mengetahui tema dan pengolahan akan membawa kepada kefahaman makna sesuatu karya  dan ia penting dalam memahami perkembangan seni rupa itu sendiri. Oleh itu penyelidikan terhadap karya catan 1950-an yang merupakan koleksi paling awal penubuhan BSLNM  menjadi titik pemula dalam kontek penghargaan kepada seni rupa tempatan dan penghargaan terhadap seni warisan  Malaysia itu sendiri.

PENDAHULUAN
Galeri atau muzium seni bukan hanya untuk mengumpul dan mempamerkan karya. Ia juga berfungsi mendidik masyarakat untuk mengenal dan memahami karya seni. Namun bagi memahami sesebuah karya seni rupa ia memerlukan pengetahuan tentang ilmu seni rupa itu sendiri. Ia hanya mudah dihayati oleh mereka yang celik tampak serta yang mendapat pendidikkan formal dalam seni visual. Kekurangan maklumat tentang cara memahami sesebuah karya akan menjarakkan lagi  jurang antara pengkarya seni rupa dengan masyarakat. Fungsi galeri terutamanya BSLNM pasti tidak mencapai matlamatnya secara total.


Catan adalah  karya seni rupa yang terbanyak dalam koleksi tetap BSLNM dan lebih popular dan lebih dikenali oleh umum berbanding karya-karya seni rupa lain. Kelemahan dalam menghayati catan lebih menyukarkan kefahaman terhadap karya seni rupa lain yang lebih komplek seperti seni arca, instalasi dan seni media baru. Maklumat tentang tema sesuatu karya catan kerap kali dibuat secara rambang mahupun terlalu umum. Kekaburan ini kerana kurangnya kaedah yang jelas mengenalpasti dan menentukan tema sesuatu karya catan mahupun karya seni rupa lain.


Idea dan pemikiran yang dikemukakan oleh artis ini dapat dikenali melalui tema-tema tertentu yang perlu diinterpretasikan dengan kaedah tertentu. Interpretasi adalah satu peringkat dalam kritikan seni selain daripada penjelasan dan menganalisa  karya seni itu sendiri. Proses ini akan membantu seseorang   mengenalpasti nilai ekspresif karya-karya seni, atau maknanya, mood atau idea yang hendak disampaikan oleh pengkarya. Dalam kritikan seni, intepretasi terhadap karya adalah sesuatu yang personal, berdasarkan kepada maklumat yang dikumpulkan dari karya tersebut.


BALAI SENI LUKIS NEGARA MALAYSIA DAN KOLEKSINYA

Balai Seni Lukis Negara Malaysia (BSLNM) telah ditubuhkan pada tahun 1958 dengan hanya 4 karya yang dijadikan Koleksi Tetap (Permanent Collection). Karya-karya tersebut adalah,    
 i.  Solomon Bermain Piano di Chin Woo, dalam media pastel oleh Patrick Ng.Kah  
     Onn pemberian daripada Majlis Kesenian Malaysia.
ii.  Self Potrait, media pastel oleh Mohd Hoessin Enas,    pemberian Majlis Kesenian 
      Malaysia.
iii.  Penang Water Front, catan batik oleh Chuah Thean Teng, pemberian Sir Donald 
      Mac Gillivary.
iv.  Potrait of the late H.N. Ridley, media cat minyak atas kanvas oleh Howard 
      Baron, pemberian Majlis Penguasaha Getah Malaysia. (Katalog Perolehan Terkini 
      1995-1998,BSLN, 1998 )

Sehingga November 2004 terdapat 2,567 karya seni rupa di dalam koleksi tetap BSLNM dan nilai karya-karya tersebut adalah lebih RM10 juta ringgit (BSLNM, 2003). Karya-karya yang menjadi koleksi tetap BSLN merangkumi karya dari berbagai kategori  yang terdiri daripada karya catan, arca, cetakan, lukisan, fotografi dan karya instalasi.

Jumlah karya mengikut kategori adalah seperti rajah berikut:

KARYA
JUMLAH
Catan
805
Arca
266
Cat air dan Lukisan
376
Fotografi
672
Cetakan
296
Lukisan Berus Cina
133
Tekstil
11
Instalasi
8
JUMLAH
2567
                            
           Jadual 1 : Jumlah setiap jenis karya dalam koleksi tetap BSLN sehingga 2004
(Sumber: Zanita Anuar, Peranan BSLN Memartabatkan Seni Visual Di Malaysia.
Sempena Seminar Malaysia-Japan arts Exchange 2005, UiTM Perak)

Berdasarkan rajah tadi, catan merangkumi sejumlah 805 karya iaitu lebih kurang 32% dalam jumlah kesemua karya tetap BSLNM yang merupakan jumlah terbesar berbanding lain-lain kategori karya. Fenomena ini tidak menghairankan jika dilihat pada perkembangan seni moden Malaysia di mana catan sangat popular dan paling banyak dihasilkan oleh  pelukis.


Sebagaimana galeri atau muzium seni di negara lain, BSLNM berfungsi dalam mengumpul karya seni rupa yang bertujuan untuk memperkembang dan mengekalkan warisan budaya negara. Karya-karya yang dipamer untuk tatapan umum pula bertujuan memberi pengetahuan dan menghubungkan pemikiran serta perasaan golongan artis seni rupa  kepada masyarakatnya. Melalui karya seni rupa masyarakat dapat dididik untuk menghargai salah satu hasil seni warisan negara,  memahami keindahan objek seni ciptaan para karyawan dan menginsafi kebesaran Allah yang memberi kelebihan kepada karyawan untuk mencipta.

SENI RUPA MODEN MALAYSIA
Perkembangan seni moden di Malaysia adalah lewat dan sukar ditentukan. Ini kerana perkembangan seni lukis di Malaysia seperti tiada permulaan. Ia bermula tanpa mempunyai sejarah. Pelukis berkarya tanpa merujuk kepada karya pelukis agung sebelum mereka. Mereka hanya dapat melihat di sekeliling mereka pada karya-karya hasil ciptaan rakan sejawat mereka untuk mendapat pengalaman menghadapi karya seni lukis yang sebenar (Syed Ahmad Jamal,1987). Walaupun beberapa penulis menandakan 1930an sebagai bermulanya perkembangan seni moden di Malaysia namun ia masih boleh dipertikaikan.


Perkembangan seni lukis di Malaya bermula dengan sistem pendidikan yang dimulakan oleh penjajah British sekitar pertengahan abad ke-19. Sistem pendidikan dengan penghantar dalam bahasa Inggeris ini adalah hasil pendudukan  dan pembukaan  Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786, dan pembukaan Singapura oleh Stamford Raffles pada tahun  1819. Ia merupakan percubaan awal pihak British untuk menerapkan penguasaan politik mereka di Tanah Melayu. Pada awal abad ke-20  pengaruh dan kawalan mereka begitu mendalam terutama terhadap pengenalan dan bentukkan budaya barat yang sistematik yang dianggap berjaya membentuk negara Malaya moden. Kejayaan mereka yang paling utama adalah penerapan sistem sekolah berasaskan pendidikan barat dengan penghantar berbahasa Inggeris sekitar abad ke-19. Tujuan utama mereka mewujudkan sistem pendidikan sebegini adalah untuk melatih rakyat tempatan yang berbagai bangsa bagi mengisi berbagai jawatan peringkat rendah di dalam berbagai agensi pentadbiran pihak British di Tanah Melayu. Kemahiran penjawat berbahasa Inggeris adalah diutamakan. Hasil dari model pendidikan baru ini dianggap membentuk pelukis Tanah Melayu yang individualisma,ekspresif dan naturalisma.(T.K. Sabapathy.  1994)


Perkembangan dan aktiviti seni rupa di Malaysia terutamanya zaman sebelum perang dunia ke-dua hampir tidak dapat di ketahui. Ini kerana tiada dokumen lengkap dan ini sukar untuk dibincangkan. Hanya aktiviti seni rupa selepas perang dunia kedua mempunyai dokumen yang boleh dirujuk dan  diperbincangkan terutama tahun-tahun 1950-an dan dengan tertubuhnya Balai Seni Lukis Negara Malaysia pada tahun 1958.


Perkembangan awal seni moden Malaysia yang dianggap bermula pada tahun 1930-an berpusat di Pulau Pinang. Walau bagaimana pun ada bukti menyatakan Low Kway Song (lahir 1889) telah melukis catan bertajuk “Lynx”, bahantara cat minyak atas kanvas, ditandatangani dan bertarikh 1921. Ia dilukis di Melaka. Catan ini  telah dipamerkan di Singapore Art Fair pada tahun 1993. (ibid)


Disamping itu juga O. Don Peris (lahir 1893) telah melahirkan karya-karya catan  terutamanya potrait-potrait formal kerabat diraja Johor setelah beliau bermastautin di Johor Bahru pada tahun 1922.(ibid)


Di Pulau Pinang di mana aktiviti awal perkembangan seni moden bermula pelukis-pelukis melahirkan catan-catan dengan bahantara cat air dan cat minyak. Teknik dan kaedah penggunaan bahan banyak di pengaruhi oleh stail dan kaedah barat. Nama-nama seperti Abdullah Ariff, Yong Mun Sen, Kuo Ju Ping, Tay Hooi Keat, Khaw Sia, Chuah Thean Teng dan Lee Cheng Yong dianggap pelopor awal seni moden Malaysia pada tahun-tahun 1930an.

BENTUK DAN MAKNA DALAM KARYA SENI RUPA
Organisasi dan susunan unsur dan elemen tampak adalah yang mencipta kesatuan dalam karya seni (Ocvirk et.al.,2006). Ia merangkumi penggunaan elemen garisan, jalinan, warna, rupa dan nilai dalam komposisi. Ia dihubungkaitkan pula dengan kewujudan prinsip-prinsip rekaan seperti harmoni, arah, kontra dan kepelbagaian.


Dalam karya seni terdapat 3 komponen asas dalam  iaitu subjek, bentuk dan makna.
Subjek adalah benda/objek, tanda, imej, figura atau idea yang merupakan luahan inspirasi dan ‘kehendak’  pelukis yang ditonjolkan dalam karya.


Makna, secara konvensionalnya merujuk kepada mesej keseluruhan dalam karya yang hendak disampaikan oleh pelukis dan diterjemahkan oleh pemerhati atau penonton.
Juga  merujuk kepada mesej atau erti sesuatu karya seni-apa yang pengkarya jelaskan dan komunikasikan kepada penghayat ( Duane Preble, Sarah Preble. 2004)
Makna juga adalah“ mesej intelektual dan perasaan dalam sesuatu karya seni. Kenyataan, ekspresi, atau mood yang terdapat di dalam karya oleh penghayat, setala dengan maksud yang hendak disampaikan oleh pelukis..( Ocvirk et. al, 2006).


Selain daripada itu makna juga bermaksud “ The expression, essential meaning, significance or aesthetic value of a work of art. Content refers to the sensory, subjective, psychological, or emotional properties we feel in a work of art, as opposed to our perception of its descriptive aspects alone” (Robertson & McDaniel, 2005).


Hubungkait diantara makna  dengan tema perlu dilihat secara keseluruhan termasuk juga kesan bahan, teknik, bentuk dan  subjek rujukan dalam karya (ibid). Walau bagaimana pun pelukis selalunya cuba mengelak dalam membicarakan tentang makna dalam karya mereka. Tafsiran tentang makna dibuat oleh pemerhati atau pensejarah seni. Merekalah yang mencipta makna atau memberi pengertian terhadap makna dalam setiap gambaran atau subjek dalam karya tersebut.

TEMA DAN  PEMBAHAGIANNYA
Tema adalah satu penggabungan topik, dan kemungkinan subjek, perkara atau idea. Artis, pendidik, penulis, pemilik dan pengurusan galeri atau muzium boleh memilih satu tema sebagai kaedah memilih subjek rujukan dalam karya, di mana ia akan dijadikan samada untuk kajian dalam program pendidikan seni atau tujuan tema dalam pameran.


Mary Erickson yang merupakan seorang Professor Pendidikan Seni, Arizona State University menyatakan, ahli pendidikan seni menggunakan tema-tema yang tidak berkaitan dengan seni untuk  menyusun atur makna dan sebagai asas dan panduan  untuk memilih karya seni untuk tujuan pengajaran atau unit pengajaran sebab tema-tema membantu pelajar melengkapkan dan mempertingkatkan  kefahaman mereka dengan cara:
·  Mengaitkan idea dalam seni dengan aktiviti dan keadaan kehidupan pelajar sendiri.
  • Menghubungkaitkan pembelajaran tentang seni dengan pembelajaran melalui pembikinan karya seni.
  • Menghubungkaitkan karya seni dari berbagai budaya dan zaman.
      ( http://www.artlex.com)

Erickson mencadangkan tema akan lebih berkesan bila mana ia digabungkan dengan tema-tema  dalam kehidupan dan sebagai tema dalam seni.  Tema utama yang menjadi perhatian umum yang muncul dari masa dan budaya terpancar dalam makna dalam karya seni yang dilahirkan dalam masa dan budaya yang bebeza.(ibid)

Contoh-contoh tema dalam seni rupa adalah:
  • Budaya, zaman, pergerakan, stail dan lain-lain.
  • Genre: Potrait, lanskap, alam semulajadi dan lain-lain.
  • Media/bahan, teknik, proses dan lain-lain
  • Figura dan abstraksi
Tema adalah ‘keseragaman tajuk’ dan kemungkinan adalah subjek atau idea dalam sesuatu karya. Ada dua cara untuk menggarap tema. Pertama melalui tajuk karya tersebut. Kedua melalui subjek dan makna dalam karya. Ia melibatkan paparan subjek secara fizikal atau paparan tersembunyi (memerlukan kefahaman). Sebagai contoh: Pelukis Nik Zainal Abidin Nik Salleh menggunakan watak-watak wayang kulit sebagai subjek dalam catanya yang bertajuk ‘Wayang Kulit Kelantan’. Bahantara cat minyak diatas kanvas(1959). Tema karya ini adalah tentang budaya. Subjek-subjek yang jelas dilihat adalah seperti watak Wak Dogol dan  pohon hayat. Contoh tema lain yang digunakan oleh pelukis dalam berkarya adalah sejarah, alam semulajadi dan alam benda, ideologi dan keagamaan.


Selain daripada itu catan yang bertemakan alam benda contohnya, subjek yang digunakan dalam karya adalah objek kegunaan seharian seperti buku, pinggan mangkuk, kain baju dan alat-alat pertukangan. Jika subjek yang diambil berdasarkan peralatan atau objek yang digunakan untuk sarapan yang diistilahkan sebagai  ‘ontbijt’ atau barangan untuk sarapan. Tema alam benda sebagai genre, berkembang kebanyakannya di kalangan pelukis-pelukis Belanda abad ke-17. Pelukis terkenal di Eropah pada masa itu seperti Jean Chardin (Perancis 1699-1769), banyak merakamkan barangan kegunaan seharian seperti cerek, kelengkapan memasak dan sayuran dalam catan beliau. Subjek-subjek yang dipilih berjaya ditonjolkan dengan penggunaan dan kefahaman terhadap warna, cahaya dan jalinan yang menarik.


James Walford membahagikan tema kepada- Spiritualiti, diri sendiri, alam semula jadi dan bandar.( John Dalford. 2002).
Tema juga adalah, “ gabungan idea disekeling topik tertentu” (Jean Robertson,Craig McDaniel, 2005). Mereka  membahagikan tema kepada-masa, tempat, identiti, tubuh badan/figura, bahasa dan spiritualiti.(ibid).

KAEDAH  ANALISA  KARYA CATAN TAHUN 1950-AN DALAM KOLEKSI TETAP BSLNM

Dalam kajian ini catan-catan yang dipilih adalah senarai catan tahun-tahun 1950an dalam Koleksi Tetap Balai Seni Lukis Negara MALAYSIA. Penyelidikan ini hanya meliputi catan-catan 1950an yang menjadi koleksi tetap Balai Seni Lukis Negara Malaysia. Hanya aspek tema dan pengolahan catan yang akan dikaji dan kategorikan mengikut tahun ianya dihasilkan. Kajian pengolahan catan hanya terhad kepada  penggunaan bahan/media dan stail. Kajian tema adalah berdasarkan kepada 4 jenis tema yang disimpulkan mengikut kesesuaian kajian ini. Tema-tema ini adalah merujuk kepada tema-tema yang diunjurkan oleh J. Dalford (2002), Robertson & McDaniel, (2005) dan Mary Erickson iaitu figura, keagamaan, alam benda dan lanskap.

Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji tema dan pengolahan seni catan dalam koleksi tetap BSLN yang dihasilkan sekitar tahun 1950an . Oleh itu skop catan yang dikaji akan dikategorikan mengikut tahun-tahun 1950an, berdasarkan tema yang berkaitan dengan karya tersebut.


Skop yang kedua adalah mengenalpasti, mengkategori dan mengkaji jumlah catan yang dijadikan koleksi tetap BSLN dari tahun 1950an tersebut. Dalam kontek ini catan-catan yang dikenalpasti akan dikategorikan berdasarkan pelukis, tahun ia diperolehi oleh BSLN. Catan-catan akan dianalisa dari aspek  penggunaan bahan, teknik, stail. Catan -catan ini juga akan dikategorikan mengikut kumpulan tema.
38



Contoh Analisa Karya 1



Georgette Chen
Rambutan dan Manggis
Cat minyak
1950
(Koleksi Tahun 1958)
 

 






Tema: Alam benda
Subjek: Karya oleh Georgette Chen yang bertajuk “Rambutan dan Manggis” ini menampilkan subjek buah rambutan dan manggis, bakul rotan,  piring dan mangkok.
Bahan, Pengolahan dan stail
Karya ini  menggunakan bahan cat minyak atas kanvas. Sapuan warna lebih kepada teknik ‘glazing’.  dengan pendekatan yang realistik. Dari konteks komposisi terdapat pengaruh karya Paul Cezanne- Still Life with Basket of Apple (1890-94). Geoegette Chen dalam karya beliau ini sedikit sebanyak cuba melihat struktur, jalinan dan warna pada objek yang dilukis seperti juga dalam karya-karya alam benda oleh Paul Cezanne. Konvensi tradisional seperti spatial representation, perspective dan warna telah dinafikan. Catan alam benda ini lebih kepada analisa visual yang diterjemahkan kedalam catan. Ia lebih merupakan satu pencarian struktur bentuk dan warna dalam karya.


Contoh Analisa Karya 2

Cheong Soo Pieng
Gadis Bali Dua Beradik
Cat minyak
1956
 

Cheong Soo Peng-Gadis Bali Dua Beradik


Tema: Figuratif
Subjek: Karya oleh Cheong Soo Pieng yang bertajuk “Gadis Bali Dua Beradik” menggunakan subjek dua figura manusia
Bahan, Pengolahan dan stail
Karya ini  menggunakan bahan cat minyak atas kanvas. Sapuan warna lebih kepada teknik ‘scrumbling’.

Karya ini jelas  memperlihatkan  pengaruh karya-karya Paul Gaugin(1814-1903) . Dalam karya ini Cheong Soo Pieng menolak kaedah representasi karya figuratif yang tradisional dan realistik. Seperti juga dengan Paul Gaugin, beliau cuba menolak konvensi naturalistik yang merupakan sebahagian kaedah catan barat sejak Renaissance dan menggantikanya dengan bentuk dan warna yang dipermudahkan. Matlamatnya mungkin mencipta satu pandangan yang personal dan asli terhadap dunia. Dalam pemilihan subjek iaitu dua gadis dengan mendedahkan bahagian atas tubuh ini juga merupakan satu pendekatan berani Cheong Soo Pieng terutama ditahun-tahun 1950an ini.

JUMLAH  KARYA CATAN
Daripada sejumlah 82 karya catan tahun-tahun 1950-an dalam koleksi tetap BSLN, dapat diperincikan pecahan jumlah karya mengikut tahun  seperti berikut:

Tahun-tahun 1950-an
Jumlah Karya
1950
2
1951
3
1952
3
1953
5
1954
2
1955
6
1956
4
1957
10
1958
17
1959
30
Jumlah
82
        
  Jadual 2: Bilangan karya catan mengikut  tahun

Karya catan yang dijadikan koleksi tetap tahun 1950an berdasarkan kriteria kajian  adalah sebanyak 82  karya. Senarai karya berdasarkan Tajuk, Pelukis, Bahan,Tahun dan Tema  adalah seperti berikut:

Bil
TAJUK
PELUKIS
BAHAN
TAHUN
TEMA
1
Rambutan dan Manggis
Georgette Chen
Cat minyak
1950
Alam benda
2
Landscape Penang Beach
Lee Cheng Yong
Cat minyak
1950
Lanskap
3
Self Potrait
Tsai Horng Chung
Cat minyak
1951
Figuratif
4
Self Potrait
Yew Kuan
Cat minyak
1951
Figuratif
5
Pokok-Pokok Kelapa
Yong Mun Seng
Cat air
1951
Lanskap
6
Perayaan Pulau Pinang
Chuah Thean Teng
Batik
1952
Figuratif
7
Kota Melaka
A.B Ibrahim
Cat minyak
1952
Lanskap
8
 Berhala Cina
Lim Hak Tai
Cat minyak
1952
Keagamaan
9
Hang Tuah
Katherine Sim
Gouache
1953
Figuratif
10
Alam Benda
A.B Ibrahim
Cat minyak
1953
Alam benda
11
Sir Henry Gurney
Harold Speed
Cat minyak
1953
Figuratif
12
Dalam Berhala Cina
Ho Choo Chuan
Cat air
1953
Keagamaan
13
Sungai Melaka
Yong Mun Seng
Cat air
1953
Lanskap
14
Pemandangan
Abdullah Arif
Cat air
1954
Lanskap
15
Penangkapan
Lim Yew Kuan
Cat minyak
1954
Figuratif
16
Old Railway Pier
Tay Hooi Keat
Cat air
1955
Lanskap
17
Kek Kok Si Temple
Yong Mun Seng
Cat minyak
1955
Keagamaan
18
Untitled
Tsai Horng Chung
Cat minyak
1955
Lanskap
19
Pekerja-pekerja
Lee Boon Wang
Cat minyak
1955
Figuratif
20
Rumah Rakit Sungai Pahang
Peter Harris
Cat minyak
1955
Lanskap
21
Pagi Hari
Yong Mun Seng
Cat air
1955
Lanskap
22
Kampung Baru
Fung Yow Chork
Cat minyak
1956
Lanskap
23
Gadis Bali Dua Beradik
Cheng Soo Pieng
Cat minyak
1956
Figuratif
24
Topeng dan Bunga
Lu Chon Min
Cat Minyak
1956
Alam benda
25
Lorong Di Belakang
Ho Kai Peng
Cat Minyak
1956
Lanskap
26
Tanjung Bidara
Peter Harris
Cat minyak
1957
Lanskap
27
Sungai Singapura 1
Lim Cheng Hoe
Cat air
1957
Lanskap
28
Sungai Singapura 2
Lim Cheng Hoe
Cat air
1957
Lanskap
29
Mandi Laut
Syed Ahmad Jamal
Cat minyak
1957
Figuratif
30
Sekarang dan Akan Datang
Lim Mu Hue
Cat Minyak
1957
Figuratif
31
Pohon Nipah
Syed Ahmad Jamal
Cat Minyak
1957
Lanskap
32
Payong Biru
Syed Ahmad Jamal
Cat Minyak
1957
Figuratif
33
Memujuk
Cheong Lai Tong
Cat Minyak
1957
Figuratif
34
Pemandangan Bukit Timah
Tan Tee Chie
Cat minyak
1957
Lanskap
35
Pelabuhan Sydney
Roland Wakelin
Cat minyak
1957
Lanskap
36
H.N. RIDLEY C.M.G
Howard Barron
Cat minyak
1958
Figuratif
37
Minah
Mohd Hoessein Enas
Cat minyak
1958
Figuratif
38
Mencelop Batik
Cheong Lai Tong
Cat minyak
1958
Figuratif
39
Puja Pantai
Nik Zainal Abidin Nik Salleh
Cat air
1958
Figuratif
40
Bermain Gasing
Cheong Laitong
Cat Minyak
1958
Figuratif
41
Lembu Berlaga
Tay Hooi Keat
Cat minyak
1958
Figuratif
42
Kampung di Bali
Nik K.A Parsa
Cat air
1958
Lanskap
43
Kampung Laut
Kum Yuen Sim
Cat minyak
1958
Lanskap
44
Kilang
Kuo Ju Ping
Cat minyak
1958
Lanskap
45
Sembahyang
Tay Hooi Keat
Campuran
1958
Keagamaan
46
Kanak-Kanak
Raden Basoeki Abdullah
Cat Minyak
1958
Figuratif
47
Jalan Di Bandar
Chia Yu Chian
Cat Minyak
1958
Lanskap
48
Ikan Untuk Hidangan
Chen Wen Hsi
Cat Minyak
1958
Alam benda
49
Village By The River
Yee  Ching Ming
Cat Air  Dakwat
1958
Lanskap
50
Ribut
Syed Ahmad Jamal
Cat minyak
1958
Abstrak
51
Raja yang Lari Balik Menyelamatkan Permaisuri
Rev. Wipulasara
Cat air
1958
Figuratif
52
Pulau Ketam
Nelson Lai Kwee Foh
Cat minyak
1958
Lanskap
53
Semangat Tanah, Air dan Udara
Patrick Ng Kah Onn
Cat minyak
1959
Figuratif
54
Wayang Kulit Kelantan
Nik Zainal Abidin Nik Salleh
Cat minyak
1959
Figuratif
55
Rangkaian Bumbung Atap
Lee Joo For
Cat air & dakwat
1959
Lanskap
56
Kehidupan Tropika
Cheong Soo Pieng
Dakwat Cina & Gouache
1959
Figuratf
57
Pekebun Getah Kecil
Chong Sing Kwai
Cat minyak
1959
Figuratif
58
Di bawah Pohon Rendang
Ho Kai Peng
Cat Minyak
1959
Lanskap
59
Gendang Hari Kebesaran
Harun Hj. Abu Bakar
Cat Minyak
1959
Figuratif
60
Gerak
Cheong Lai Tong
Cat Minyak
1959
Abstrak
61
Village Shopping
Mohd Sallehuddin
Cat Minyak
1959
Figuratif
62
Wayside Stalls
Chong Sing Kwai
Cat Minyak
1959
Lanskap
63
Bertiga Di Tepi Laut
Lee Joo For
Cat Minyak
1959
Figuratif
64
Dr. Loke Yew
Reginald Lewis
Cat Minyak
1959
Figuratif
65
Umpan
Syed Ahmad Jamal
Cat Minyak
1959
Abstrak
66
Bahang Senja
Lee Joo For
Cat Air
1959
Figuratif
67
Seni Melayu
Nik Zainal Abidin Nik Salleh
Cat Minyak
1959
Figuratif
68
Pagi Hari Di Kampung
Foong Moi
Cat Minyak
1959
Lanskap
69
Pohon Nipah
Ho Kai Peng
Cat Minyak
1959
Abstrak
70
Pohon Di Halaman
Patrick Ng Kah Onn
Cat Minyak
1959
Lanskap
71
Milking Time
Yong Poh Sang
Cat Minyak
1959
Figuratif
72
Umbut Kelapa
Catherine Ormiston
Cat Air
1959
Lanskap
73
Joget Moden
Peter Harris
Cat Minyak
1959
Figuratif
74
Zahara
Mustafa Mahmud
Cat Minyak
1959
Figuratif
75
Kasih Sayang
 Ahmad Hassan
Cat Minyak
1959
Figuratif
76
Kampung Nelayan
 Chuah Thean Teng
Batik
1959
Lanskap
77
Pemandangan Pohon
Tay Hooi Keat
Cat air & dakwat cina
1959
Lanskap
78
Plantscape
Tay Hooi Keat
Cat minyak
1959
Lanskap
79
Batu Bata di Tg. Bidara
Peter Harris
Cat minyak
1959
Lanskap
80
Bilik Saya di Paris
Chia Yu Chian
Cat minyak
1959
Alam benda
81
Demonstrasi Dalam Salji
Syed Ahmad Jamal
Cat minyak
1959
Lanskap
82
Rumah Panjang Dayak
Lai Foong Moi
Cat minyak
1959
Lanskap

Jadual 3: Senarai karya catan  berdasarkan Tajuk, Pelukis, Bahan, Tahun dan Tema


Tema-tema yang dipilih dalam menganalisa karya catan dalam kajian ini adalah tema figuratif, keagamaan, alam benda dan lanskap. Tema figuratif  melibatkan figura manusia dalam aktiviti seharian, permainan rakyat, kehidupan kanak-kanak dan potrait diri. Ini bermaksud pelukis menggunakan figura manusia sebagai subjek utama dalam karya mereka.

Dalam karya yang bertemakan keagamaan pelukis menggunakan lambang-lambang, aktiviti keagamaan, tempat-tempat beribadat  yang berkaitan dengan sesuatu agama dalam karya mereka. Dalam tema keagamaan ini, figura tetap juga menjadi subjek dalam karya pelukis tetapi dibezakan dengan tema figuratif dan aktiviti seharian berdasarkan pendekatan kepada tema-tema keagamaan yang mana lambang dan aktiviti keagamaan diberi keutamaan.

Tema-tema lanskap pula merupakan rakaman gambaran lanskap sesuatu tempat, samada didarat, bandar atau pantai dalam karya catan oleh pelukis. Sememangnya tema lanskap telah menjadi subjek utama dalam perkembangan seni catan dunia.
Karya-karya yang bertemakan  alam benda pelukis menggunakan subjek seperti  objek kegunaan seharian, tumbuhan seperti sayur-ayuran dan buahan-buahan yang disusun dalam satu set-situasi dalam karya mereka.

Jumlah karya tahun-tahun 1950an mengikut tema seperti yang dinyatakan diatas adalah:

Tema
Jumlah
Figuratif
34
Keagamaan
4
Alam Benda
5
 Lanskap
35
Jumlah
78
Abstrak (tidak dapat dikenalpasti subjek)
4
Jumlah Karya
82
Rajah 4 : Jumlah catan mengikut tema.

KESIMPULAN

Balai Seni Lukis Negara Malaysia berperanan  menyimpan dan memulihara  khazanah seni rupa negara. Ia juga berperanan mendidik masyrakat menghargai khazanah tersebut. Kaedah mendidik perlu di permudahkan kerana tahap kefahaman masyarakat terhadap seni rupa adalah sangat berbeza berdasar latar belakang pendidikan, sosio-ekonomi dan kefahaman kepentingan seni rupa dalam pembangunan minda masyarakat.


Dalam kajian ini catan merupakan hasil seni rupa yang paling utama dalam koleksi tetap BSLNM dan paling banyak digantung untuk dipamerkan dalam ruang dalam BSLNM.
Pemilihan catan-catan tahun 1950an adalah berdasarkan kepada faktor bahawa pada masa tersebut  pelukis masih lagi dalam proses mencari identiti, melukis dengan penuh keikhlasan, dan karya-karya masih terikat dengan subjek-subjek setempat walaupun teknik dan pengolah mempunyai pengaruh catan barat yang menebal.


Adalah perlu dalam mendidik penghayat atau pengunjung memahami setiap hasil karya catan yang dpamerkan, pihak yang terlibat pelu menyediakan label/teg penerangan terhadap karya yang lebih bermaklumat. Label penerangan mestilah  mempunyai makumat bukan sahaja tentang tajuk, nama pelukis, bahan, tahun karya dibuat dan diperolehi oleh BSLNM, tetapi juga maklumat tentang idea pengkarya, tema, kaitanya dengan sejarah seni, stail/ism dan lain-lain maklumat agar penghayat mampu memahami maksud dan mesej sesuatu karya. Katalog pameran yang selalunya dijual mengiringi setiap pameran dianggap gagal mendidik pengunjung atau penghayat memahami sesuatu karya kerana ia perlu dibeli dan tidak mesra pengguna untuk dibaca secara sepontan. Ini terutamanya jika katalog itu tebal dan mahal harganya. Label-label yang bermaklumat yang diletakkan di sebelah karya adalah lebih mudah dibaca, dianggap mesra pengguna dan mampu membantu penghayat/pengunjung memahami setiap karya. Ini kerana ia dapat dibaca secara sepontan. Penerangan  terhadap karya catan adalah perlu terutama karya-karya catan abstrak. Ini dapat mengelakkan penghayat memberi reaksi secara sepontan dan melalui pespektif sendiri.


Perkembangan seni rupa moden Malaysia adalah baru dan tanpa sejarah yang mantap berbanding dengan di barat. Sekolah-sekolah seni atau pusat pengajian tinggi yang menawarkan pengajian dalam seni visual pula hanya bermula sekitar 1960an. Maka penerimaan masyarakat terhadap bidang seni rupa dan kerjaya yang berkaitan dengan rekaan dan penciptaan pula masih ditahap yang tidak membanggakan. Sehinggakan pendidikan peringkat rendah dan menengah rendah dalam sistem Pendidikan Negara pula tidak memberi tempat dan sewajarnya terhadap subjek atau matapelajaran Pendidikan Seni. Pendidikan Seni masih dianggap sebagai matapelajaran pilihan, tidak penting dan dianggap sebagai matapelajaran untuk pelajar-pelajar ‘yang tidak cerdik’. Maka satu usaha disemua peringkat mesti di gembeling walaupun pada tahap yang paling bawah agar cara mendidik dan menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan seni dan seni  rupa dalam pembangunan negara. Negara dan rakyat yang tidak menghargai seni adalah negara dan rakyat yang tidak bertamadun.

RUJUKAN
Balai Seni Lukis Negara Malaysia. (1998). Perolehan Terkini 1995-1998. Katalog
1998. Kuala Lumpur: BSLN.
Balai Seni Lukis Negara Malaysia. (2003). Inventori Himpunan Tetap Warisan Seni
Tampak Negara 1958-2003. Kuala Lumpur : BSLNM
John Walford (2002). Great Themes in Art. USA : Prentice Hall.
Ocvirk, Otto G, Stenson Robert E, et.al. Art Fundamental Theory and Practice, 11th edition, New York: McGraw-Hill, 2009
Robertson J. & McDaniel C.(2005). Themes of Contemporary Art-Visual Art After
1980. New York : Oxford University Press.
Syed Ahmad Jamal (1987) Seni Lukis Malaysia 57-87.  Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur
T.K.Sabapathy.(1994). Vision and Idea-Relooking Modern Malaysian Art. Kuala Lumpur : Balai Seni Lukis Negara. 
Zanita Anuar, Peranan BSLN Memartabatkan Seni Visual Di Malaysia.
Prosiding Seminar Malaysia-Japan Arts Exchange 2005, UiTM Perak
Preble & Sarah Preble (2004). Artforms (Revised 7th Edition), Pearson Prentice Hall, New Jersey.
http://www.artlex.com/ 10 Ogos 2009, 12:10pm