Wednesday 7 October 2009

ANALISIS VISUAL SENI ARCA MODEN MALAYSIA DALAM PENDEKATAN KEBUDAYAAN

Oleh

ABDUL HALIM HUSAIN (PhD)

Fakulti Seni Dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris MALAYSIA

ABSTRAK

Kertas kerja ini menjelaskan aspek identiti visual karya-karya seni arca moden Malaysia. Karya-karya seni arca yang dipilih sebagai subjek perbincangan dijelaskan dengan mendiskripsikan bentuk fizikalnya. Kemudian karya-karya seni arca dianalisis dalam konteks formalistik. Karya-karya seni arca ini juga diinterpretasi berasaskan gabungan antara diskripsi dan aspek formalistik. Akhirnya ianya menjelaskan identiti visual keseluruhan karya-karya seni arca moden Malaysia yang dipilih didalam pembentangan ini.

Didalam kertas kerja ini dijelaskan tentang seni arca moden Malaysia berteraskan rupa bentuknya. Terdapat empat tumpuan utama yang diperjelaskan antaranya adalah berkaitan dengan bahan yang digunakan oleh pengkarya, teknik, aspek formalistik yang diolah dan idea keseluruhan karya. Keseluruhan tumpuan berkaitan rupa bentuk karya seni arca moden Malaysia berteraskan konsep nilai, persekitaran, institusi sosial dan keperluan yang menjadi asas hubung kait dengan sistem sosial (lihat dibawah, Rajah 1: Kerangka Teori Identiti Visual Seni Arca Moden Malaysia)




Rajah 1: Kerangka Teori Identiti Visual Seni Arca Moden Malaysia.


1. PENDAHULUAN

Kesenian terbentuk dalam satu kerangka utama dimulai dengan sistem sosiobudaya yang terdiri daripada konsep nilai, persekitaran, keperluan, perilaku seniman dan institusi dalam masyarakat. Kesemua konsep ini akan membentuk cara sesebuah karya seni itu wujud dan dihayati[1].

Seni wujud hasil keperluan manusia yang ingin melepaskan rasa keseniannya melalui media, idea dan pengalamannya. Individu yang berkesenian merupakan individu yang ingin memaparkan rasa dalam diri untuk dilepaskan bagi keperluan asas manusia. Sudah tentu setiap hasil karya seni tidak terlepas daripada bentuk-bentuk tertentu yang boleh digarap untuk memahami maknanya (Tjetjep Rohendi Rohidi, 2000).

Dalam konteks pengaruh persekitaran pula, individu seniman yang menghasilkan karya seni bertindak balas oleh sebab reaksi luaran terhadap persekitarannya menyebabkan individu seniman dalam masyarakat tersebut bertindak mentafsirkannya dalam bentuk tersendiri seterusnya membentuk konsep asasnya yang tersendiri melalui tingkah lakunya dalam berkarya.

Seni adalah sebahagian daripada manifestasi kebudayaan yang wujud dalam sebuah masyarakat berdasarkan pengaruh persekitaran budayanya, seterusnya membentuk keperibadian senimannya. Pemaparan karya seni oleh individu seniman ialah manifestasi kebudayaan masyarakatnya yang tersendiri. Dengan kata lain, kesenian sesuatu masyarakat wujud dalam ruang lingkup masyarakatnya yang menggambarkan kebudayaannya[2].

Oleh sebab kesenian berada dalam satu sistem kebudayaan yang bersepadu dengan konsep-konsepnya tersendiri, maka melalui pendekatan kebudayaan, pengkaji ingin mengungkap, memahami dan menjelaskan; bentuk, makna serta identiti kebudayaan seni arca moden yang dihasilkan oleh pengkarya atau pengarca Malaysia.

2. TUJUAN KERTAS KERJA

Tujuan kertaskerja ini untuk menjelaskan secara visual karya seni arca moden Malaysia dalam konteks memahami sistem sosiobudaya yang dimanifestasikan oleh para pengarca. Dalam konteks ini pula; nilai, kepercayaan, persekitaran, keperluan, institusi sosial dan peri laku pengarca yang tercermin dalam karya-karya seni arca moden Malaysia akan dikenal pasti. Secara terperinci, tujuan pembentangan ini adalah seperti berikut:

2.1 menjelaskan ikon dan simbol yang diguna pakai serta makna yang tercermin daripada seni arca moden Malaysia.

2.2 menjelaskan dan memahami fungsi seni arca moden di Malaysia dalam konteks sistem sosiobudaya masyarakat di negara ini.

2.3 menjelaskan identiti kebudayaan yang dimanifestasikan oleh pengarca dalam rupa bentuk dan simbol seni arca moden di Malaysia.

3. PEMBENTUKAN KERANGKA TEORI PENJELASAN

Kertas kerja ini bertujuan untuk memahami identiti kebudayaan melalui seni arca moden Malaysia yang berasaskan pendekatan teori kebudayaan. Ia berkait rapat dengan persoalan nilai kepercayaan, persekitaran fizikal sosiobudaya, keperluan pengkaryaan, peranan tingkah laku pengkarya dan institusi sosial masyarakat.

Saya percaya bahawa penjelasan terhadap kesenian harus mempunyai kaedah yang sesuai bagi mendapatkan maklumat yang sahih. Dalam menjelaskan identiti kebudayaan seni arca moden Malaysia, saya menggabungkan pendekatan interdisiplin dengan konsep-konsep dalam teori kebudayaan sebagai teori utama (Grand Theory). Selain itu, penjelasan juga menggunakan konsep-konsep dalam teori struktur fungsionalisme dan teori apresiasi seni untuk melihat bentuk seni arca moden Malaysia dalam konteks masyarakat di Malaysia berasaskan pengekalan dan kesinambungannya.

Identiti, Seni Dan Kebudayaan

‘We live in a small world where identity matters. It matters both

as a concept, theoritically, and as a fact of contemporary political life

(Gilroy, 1997 lihat Woodward, K., 2000).

Identiti secara umumnya ialah pengenalan keahlian berasaskan individu dan seterusnya mewakili suatu kelompok yang menjadi pengenalan bagi mewakili kumpulan dan kelompok tertentu. Manusia wujud berasaskan kumpulan identiti sama ada ia dalam kategori identiti lelaki atau pun perempuan. Dalam kehidupannya, setiap manusia membawa pelbagai identiti. Zakaria Ali (1989), menyatakan bahawa identiti ialah satu gabungan nilai, keadaan kesamaan dan keserupaan.

Persoalan identiti dalam konteks seni menjadi lebih kompleks dalam pengertian kebudayaan. Pendekatan kebudayaan sebagai suatu sistem dalam memahami persoalan identiti harus konsisten berteraskan unsur-unsur dan konsep kebudayaan. Konsistensi terhadap pendekatan mampu memperjelaskan makna identiti tersebut kerana identiti ialah sesuatu yang relatif bergantung kepada pendekatan dan konsistensi cara pentafsiran konsep-konsep yang digunakan.

Identiti berkait rapat dengan individu dan persekitaran sosial masyarakat. Ia juga adalah ikatan antara ahli atau individu dengan masyarakat yang cuba untuk memperkenalkan identiti kumpulan tersebut. Pengolahan simbol dan cara persembahan karya seni akan menjadi utama dalam mengajar dan memajukan persamaan dan perbezaan antara kelompok didalam masyarakat.

Identiti ialah istilah yang digunakan untuk menjelaskan tentang kewujudan dan meletakkan kita yang terlibat secara aktif dalam huraian-huraian peristiwa sejarah. Antara tafsiran identiti adalah sebagai suatu budaya milik bersama dan ia bagaikan persamaan pelbagai diri yang dikongsi bersama oleh orang-orang lain dalam kelompok masyarakat yang memiliki sejarah dan asal-usul yang sama. Oleh yang demikian, identiti selalunya menggambarkan pengalaman-pengalaman sejarah asal usul bersama, kod-kod budaya dan cara hidup yang dimiliki bersama oleh suatu kelompok masyarakat yang menjadi asas utama bagi kelompok masyarakat tersebut dalam kerangka dan makna kehidupan yang tidak berubah serta berkesinambungan (Stuart Hall, 1990)

Identiti juga merupakan proses yang wujud dalam satu rantaian perubahan terus-menerus. Ia merupakan paparan sejarah yang dibentuk berasaskan rantaian keterputusan berbanding rantaian kesinambungan. Identiti dalam pengertian ini wujud sama ada sebagai bentuk pelestarian atau pengekalan masa lampau dan sebagai transformasi serta perubahan masa hadapan (Mohd. Taib Osman, 1988).

Identiti tidak hanya sekadar pandangan berteraskan masa silam yang bersifat peninggalan dan warisan budaya. Ia juga berteraskan masa hadapan yang melalui proses kreativiti dalam konteks perubahan budaya. Identiti menjadi subjek permainan sejarah (play of history), kebudayaan dan kuasa secara terus-menerus yang wujud dalam corak dan sifat khas diri. (lihat Talcott Parsons, 1951; Sigmund Freud dalam Read, 1970; Gerald Zaltman, 1972; lihat Suparlan, 1982).

Berasaskan konsep identiti, ianya adalah proses kesenian dalam konteks kebudayan dan tidak terpisah daripada pengaruh sejarah perkembangan sesuatu bangsa. Ia juga berkait rapat dengan kewujudan kepelbagaian masyarakat dalam konteks era globalisasi masyarakat di Malaysia. Identiti merupakan persoalan pengaruh, perubahan, transformasi, interaksi antara kaum, pergeseran, kontradiksi dan paradoks identiti yang bersifat dinamik, berpindah dan berubah akibat sebuah dunia kehidupan yang dibentuk oleh kuatnya situasi saling bergantung, pengaruh yang kuat dan persaingan yang hebat antara unsur-unsurnya (Yasraf Amir Piliang, 2002).

Pemahaman berkaitan cara identiti wujud, paradigma yang melandasi identiti, ideologi di sebalik identiti, cara penggunaan identiti sangat penting bagi sebuah negara untuk membangun bangsanya. Cara membangun, memandang, dan menggunakan identiti sebagai media harus hadir dalam pembangunan bangsa. (Koentjaraningrat, 1981; Mohd. Taib Osman, 1988).

Apabila seni dianggap sebagai satu antara unsur kebudayaan maka ia merangkumi cara-cara dan aspek pemberian erti serta tindak tanduk berekspresi secara menyeluruh. Tindak tanduk hasil persekitaran budaya dan konsep keperluan berekspresi berasaskan peri laku pengkarya akan memaparkan identiti keseniannya yang tersendiri. Ianya secara jelas akan membentuk unsur kesenian yang bertemakan identiti budaya yang wujud berasaskan persekitaran sedia ada.

Pemberian tanda dalam hasil kesenian menggambarkan dalam konteks pelbagai budaya yang akan menyentuh persoalan sistem sosial dan sistem masyarakatnya. Seterusnya ini akan memberi makna secara simbolik terhadap karya seni. Peranan reaksi individu dalam kelompok masyarakatnya yang tersendiri berasaskan corak dan sistem sosial akan membentuk makna daripada interaksi simbolik yang membawa identiti kepada kelompok tersebut.

Identiti kesenian diwakili oleh suatu sistem simbol yang tertentu berasaskan kelompok masyarakatnya. Ianya secara simbolik akan memberi makna kepada identiti karya seni tersebut berasaskan kelompoknya. Wujudnya identiti kesenian dengan pencirian rupa bentuknya yang tersendiri memerlukan kerangka pemikiran yang konsisten dan selari dengan kefahaman bersama.

Pemikiran Sigmund Freud mengatakan bahawa seni pada perikat awalnya wujud kerana dorongan psikologi individu berasaskan norma dan nilai peribadi. Seterusnya tindak tanduk peribadi pengkarya memanifestasikan norma dan nilai di dalam sistem sosial dan sistem budaya. Pada peringkat awalnya juga, sistem peribadi yang berasaskan persekitaran sosial bertindak secara peribadi sehinggalah melewati norma-norma keperibadian dan muncul identiti sosial dan kelompok masyarakat yang lebih besar yang diwakilinya.

Identiti kesenian berasaskan kebudayaan berpandukan simbol yang digunakan dalam hasil seni yang telah dipersetujui bersama, Hasil kesenian ini memberi makna tertentu yang mengarah kepada anggota keahlian yang mewakili masyarakat tersebut. Penonjolan simbol-simbol ini memberikan kemungkinan berlakunya proses pengkaryaan berlandaskan stail dan gaya yang sama dan menuju ke arah konsep identiti masyarakat tersebut. Ia lebih menonjolkan simbol-simbol yang mengarah kepada identiti kelompok masyarakat tersebut secara keseluruhannya daripada penonjolan identiti berasaskan simbol individu.

Apabila kita mengatakan kesenian sebagai cerminan kebudayaan yang mewakili sesuatu masyarakat atau kelompok, maka ianya adalah merupakan kebanggaan kelompok masyarakat dan memartabatkan harga diri. Demi untuk meningkatkan harga diri dalam konteks berkesenian, pengekalan dan pengembangan ke arah kesinambungan berkesenian menjadi tanggung jawab pengkarya. Kesenian walaupun dihasilkan oleh individu pengkarya namun ia mewakili masyarakatnya dengan simbol-simbol kebudayaannya. (Tjetjep Rohendi Rohidi, 2000).

Setiap karya seni tampak mempunyai bentuk (Form) dan simbol (Icon) serta tidak hanya bergantung kepada makna kenyataan (factual meaning) yang berkisar kepada aspek formalistik sahaja, ia juga adalah hasil ekspresi pengkarya; makna tersirat (symbolic) juga harus dikaji. Kajian terhadap makna tersirat ini disebut sebagai kajian ikonografi iaitu suatu pendekatan untuk memahami simbol dalam karya seni tampak.

Gabungan ketiga-tiga teori tersebut akan membentuk kefahaman dan penjelasan terhadap seni arca moden Malaysia secara ilmiah, teoritikal, saintifik dan sistematik (Lihat Rajah 1.2: Penggabungan Teori Kebudayaan Sebagai Suatu Sistem). Konsep-konsep yang dirujuk sebagai asas kajian bersifat interdisiplin menjadi konsep utama; sebagai panduan awal disusun dalam struktur teoritikal seperti rajah di bawah ini:


Rajah 2: Penggabungan Teori Kebudayaan Sebagai Suatu Sistem.

4. PERBINCANGAN KARYA-KARYA SENI ARCA MODEN MALAYSIA

Ikon, Simbol Dan Sistem Sosial

Dalam karya-karya seni arca moden di Malaysia, terdapat penggunaan ikon tradisi. Ikon tradisi dalam konteks hal benda dari objek budaya yang digunakan oleh masyarakat tempatan banyak diambil sebagai ikon dalam karya-karya seni arca Moden Malaysia. Olahan daripada ikon yang dipilih adalah sangat menarik, apabila pengarca menggunakan pengetahuan mereka dalam penggunaan bahasa seni yang cukup mantap, untuk mengwujudkan karya seni arca mereka dengan ciri-ciri yang tersendiri. Ikon-ikon yang dipilih secara tradisinya membawa maksud dan makna kearah hasil karya mereka dengan isu-isu dan tema masyarakat tempatan.

Pengaruh terhadap perkembangan senilukis tempatan akibat daripada persoalan identiti nasional memainkan peranan penting bagi menzahirkan bentuk-bentuk karya arca yang sedemikian. Persoalan menzahirkan bentuk dalam mewakili identiti negara telah dikupas sebaik mungkin oleh pengarca. Hasil daripada pemerhatian terhadap ikon yang wujud dalam karya-karya arca moden Malaysia, ianya menggambarkan keputusan yang diambil oleh para pengarca Malaysia secara tersendiri. Mengolah bentuk dari ikon dan hal-benda tempatan sudah menjadi ‘trend’ dalam penghasilan karya-karya seni arca moden Malaysia.

Kesan daripada penggunaan ikon-ikon tradisi tempatan, mengwujudkan simbol yang membawa makna tempatan. Banyak karya-karya seni arca moden Malaysia yang dikaji membahaskan isu dan fenomena budaya, cara hidup dan keindahan budaya masyarakat Malaysia.

Penzahiran bentuk karya-karya seni arca moden Malaysia adalah akibat daripada hubungan yang terkait dengan aktiviti sistem sosial masyarakat yang diwakili oleh para pengarca. Para pengarca didapati telah mengambil isu-isu yang wujud dalam persekitaran masyarakatnya bagi menzahirkan bentuk karya seni arca mereka. Kepekaan para pengarca Malaysia dalam konteks fenomena dan isu tempatan sangat kuat. Mereka seringkali menzahirkan karya-karya seni arca mereka dengan tidak terlepas daripada ruang persekitaran sosio budaya masyarakat tempatan.

Pengarca secara simbolik telah menggunakan isu-isu tempatan dengan pengetahuan yang cukup mantap dalam olahan bahasa tampak seni moden bagi menzahirkan karya yang cukup memberi erti tempatan. Kebijaksanaan para pengarca menghubungkan isu dan fenomena tempatan secara visual adalah juga hasil daripada pendidikan yang telah didapati daripada institusi pengajian seni yang wujud.

Sebagai seorang pengarca, mereka juga mempunyai rasa tanggung jawab yang tinggi terhadap perkembangan seni arca pada keseluruhannya. Berkarya dengan rasa tanggung jawab dan kesedaran terhadap nilai masyarakat dan sistem budaya yang wujud. Konsep keperluan bagi memenuhi cita-cita peribadi dalam mengekspresikan diri mereka dalam pengkaryaan juga sangat harmoni dengan keperluan sosial.

Dalam konteks ini peranan institusi pendidikan dalam bidang seni adalah menjadi pengaruh kuat bagi meningkatkan lagi perkembangan karya-karya seni arca. Terdapat juga peranan institusi sosial lain, selain daripada pendidikan, seperti yang berlaku di peringkat sekolah.

5. KESIMPULAN

Identiti Kebudayaan Seni Arca Moden Malaysia.

Identiti kebudayaan seni arca moden Malaysia dapat dilihat daripada beberapa perspektif melalui pendekatan kebudayaan. Pertamanya dari perspektif nilai kepercayan yang menyebabkan terhasilnya bentuk fizikalnya yang tersendiri. Ianya wujud hasil daripada ikon budaya masyarakat tempatan. Hal benda tempatan boleh mengwujudkan ciri-ciri tersendiri yang mana ianya adalah menjadi ikon utama yang akan membentuk identiti visual seni arca moden Malaysia. Berasaskan kepada kajian yang dilakukan kepada pemilihan karya-karya yang utama yang seringkali terlihat dalam katalog pameran dan pameran di galeri sekitar kuala Lumpur didapati ianya berasaskan nilai kepercayaan Melayu. Ianya dapat dilihat dalam penzahiran bentuk ikon dan hal benda yang tidak bercanggah dengan asas agama Islam bagi masyarakat Melayu dan juga kehendak identiti negara berasaskan etika pengkaryaan.

Dalam konteks perkembangan seni tampak sekarang, dimana isu etnik dan pengiktirafan terhadap penampilan karya seni berasaskan kebudayaan masyarakat yang pelbagai menjadikan pengembalian berbagai tradisi, dorongan dan konteks tempatan kedalam paparan seni tampak secara keseluruhannya. Selain daripada itu, kita juga dapat mengenali secara visual wujudnya identiti seni arca moden Malaysia berasaskan hubungkaitnya dengan sistem sosial masyarakat tempatan. Wujudnya bentuk secara visual harus difahami berasaskan juga reaksi secara simbolik pengarca yang dihubungkan secara tidak disedari hasil tindak-tanduk sistem sosial yang dilingkungi oleh pengarca.

Dalam memperlihatkan wujudnya kepelbagiaan etnik di Malaysia sepertimana yang kita ketahui, pemaparan ikon dan hal benda yang wujud dalam karya-karya seni arca yang dikaji hanya berlandaskan isu satu kelompok masyarakat sahaja. Ini bermakna kurang pendedahan dan pemerhatian para pengarca dan seniman di Malaysia dalam konteks pengetahuan budaya masyarakat lain yang wujud di Malaysia. Persoalan pengetahuan dan saling memahami budaya lain yang wujud berasaskan kekayaan etnik merugikan dalam konteks perkembangan seni tanpak Malaysia.

Disamping itu juga jika dilihat dalam konteks keperluan semasa berasaskan kehendak pasaran atau matlamat negara dalam penghasilan karya seni, ianya lebih menunpukan isu identiti yang boleh mewakili negara. Untuk menyelesaikan permasalahan ini, para pengkarya mengambil bentuk daripada objek tradisi dan budaya secara fizikal bagi mewakili persoalan identiti nasiaonal. Oleh kerana kehendak keperluan semasa dalam isu nasional maka dapat dilihat bentuk karya yang agak sama dalam konteks hal-benda dan isu persoalan pengkaryaan.

Apabila kita melihat melalui perspektif teknologi semasa, jelas dapat dilihat melalui menggunaan bahan yang berasaskan teknologi semasa. bahan seperti besi, simen dan juga ‘stainless steel’ memaparkan kearah moden dan kontemporari. Pengolahan bahan yang berasaskan alam juga didapati masih relevan dan dimanipulasikan oleh para pengarca bagi memenuhi keperluan semasa dalam persaingan bersama kedalam pasaran pengkaryaan masa kini.

Penggunaan objek budaya dari persekitaran tempatan secara tidak langsung memberikan petunjuk tentang perkaitannya dengan kewujudannya dalam konteks persekitaran.


[1] The term culture has a number of different meanings, all of them are valid for some uses. Sociologist take much broader view of the term. For them ‘culture’ refers to the total life style of a people, including all of the ideas, values, knowledge, behaviors, and material objects that they share [Geertz,1973;Kroeber & Kuckhon,1952].

[2] E.B.Taylor defined culture as ‘that complex whole which includes knowledge, belief, art, morals, law, custom and any other capabilities and habits acquired by man as a member of society.

No comments:

Post a Comment